Tuesday 25 June 2013

Tuhan Itu Maha Adil

Tuhan Itu Maha Adil

"Kau lihatlah penyanyi itu ada suara yang sedap sehingga membolehkannya mencari pendapatan dengan menjadi seorang penyanyi tetapi ada pula manusia yang bisu sehinggakan menyukarkannya untuk berkomunikasi. Di manakah keadilan Tuhan bagi hambaNya?" luah Rahmat sambil menundukkan wajahnya. Ucapannya itu seperti menidakkan keadilan Tuhan buat sekelian makhluk.

                Zaki cuba untuk bersifat empati dengan rakannya itu. Hairan juga dibuatnya dengan perbandingan yang dilakukan itu. Persoalan keadilan Tuhan timbul diantara dua situasi iaitu penyanyi dan seorang yang bisu. Ianya persoalan yang benar-benar mencabar minda untuk diberikan jawapan yang segera. Perlu lebih teliti untuk memberikan jawapan yang berhikmah. Terdiam sebentar dengan soalan yang sebegitu rupa. Terdiam pula bukannya membuntu tetapi memikirkan kembali pilihan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Rahmat.

                "Apakah yang engkau faham dengan maksud keadilan bagi kedua-dua keadaan tersebut? Antara penyanyi yang bersuara lunak dan seorang yang bisu?" soal Zaki bagi meneliti terlebih dahulu kefahaman Rahmat terhadap maksud adil yang difahaminya.

                "Jikalau si penyanyi dianugerahkan suara lunak biarlah si bisu itu dapat bersuara walaupun tidak lunak. Itu barulah adil," balas Rahmat dengan yakin.

                "Itu sama rata. Jika si penyanyi bersuara, maka si bisu pun mesti bersuara. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, walau kita melihat si bisu tidak mempunyai suara tetapi mungkin dia dikurniakan kebahagian hidup yang lebih baik. Bisunya itu tidak membuatkannya menghamburkan kata-kata nista kepada manusia yang lain. Sebaliknya, si penyanyi itu pula walaupun mempunyai suara lunak, kelunakkan suaranya itu membuatkan dia begitu sibuk memenuhi jemputan nyanyian di sana sini sehingga dirinya tidak sempat mengecap kebahagian hidup. Si bisu bahagia dengan caranya tersendiri dan si penyanyi bahagia dengan cara yang tersendiri. Masing-masing Tuhan beri kenikmatan hidup pada keadaan yang berbeza tetapi pada kadar yang sama," balas Zaki dengan penuh bersemangat.

Kesamarataan dan keadilan itu dua perkara yang berbeza...


Wednesday 17 October 2012

Ujian Dari Nikmat Keamanan

Ujian Dari Nikmat Keamanan 

Terdetiknya niat untuk menulis tajuk ini adalah untuk dijadikan muhasabah buat diri yang kerdil ini dan juga para pembaca dalam melihat diri kita di sisi nikmat keamanan yang telah Allah SWT anugerahkan. Cukuplah ingin aku katakan bahawa keamanan yang dimaksudkan itu merujuk kepada keadaan negara kita yang tidak berperang dan hari-hari berlalu tanpa hujanan peluru dan bom yang membunuh. 
          
  Beberapa paparan video dari Youtube tersiar pada wall Facebook. Aku melihat rakan-rakanku 
yang beragama Islam terkinja-kinja meniru lagak Gangnam Style dengan penuh keasyikan dan kelihatannya mereka seperti sudah tidak ingat dunia. Berfikir pula aku dengan rakan-rakan yang sebaya aku di Syria, Palestin dan Rohingya, adakah dengan keadaan mereka senantiasa dihujani peluru dan bom, nyawa senantiasa diancam serta seribu satu macam ujian yang mencengkam perasaan masih memberi mereka peluang untuk berGangnam Style? Soalan ini disoal dan soal pada diriku sedalam-dalamnya sehingga timbul satu jawapan yang menyentak fikiranku seharian iaitu “Keamanan yang dinikmati oleh generasi muda sekarang merupakan salah satu ujian yang rencam dari Allah SWT. Terhapus sudah dalam fikiran generasi muda sekarang bahawa keamanan itu merupakan ujian.”

            Lalu setelah disentakkan dengan jawapan tersebut, fikiranku melayang membuat perbandingan. Aku berkata pada diriku sendirian, “Sungguhpun di kalangan generasi muda Islam di negara Syria, Palestin dan Rohingya sedang berada dalam keadaan yang sifar keamanan, keadaan itu membuatkan mereka terhindar jauh dari perkara-perkara yang melalaikan sedemikian. Malah, secara tidak langsung mereka sedang sibuk berjuang habis-habisan bagi sebuah kehidupan yang lebih aman.”

Keamanan Suatu Ujian 
Penulisanku ini tidak bermaksud untuk kita membiarkan sahaja rakan-rakan seakidah kita di sana untuk terus-terusan dengan keadaan demikian sehingga ada yang berkata, “Kalau dengan peperangan itu membuatkan diri mereka lebih dekat dengan Allah SWT, maka biarkanlah mereka dengan keadaan itu. Jangan dibantu mereka. Biarkan mereka sedang berbahagia dengan cara mereka tersendiri.” Tidak! Sekali-kali tidak aku bermaksud demikian dengan penulisan ini.

            Namun begitu, apa yang ingin ku tegaskan penulisan ini adalah untuk rakan-rakan semua senantiasa melihat bahawa sama ada kita dilanda peperangan atau dianugerahkan keamanan dari Allah SWT, kita harus melihat semua itu sebagai satu ujian untuk menguji keimanan dalam diri kita. Jika kita melihat peperangan itu sebagai suatu ujian untuk melihat sejauh mana keimanan kita terhadap Allah SWT, maka kita akan hadapinya dengan penuh kesabaran serta merancang kemenangan dengan penuh strategi untuk mendapat sebuah kehidupan yang lebih aman. Jika kita melihat keamanan itu sebagai ujian yang menguji sejauh mana rasa syukur yang akan dipanjatkan kepada Ilahi, maka kita akan menghadapinya dengan penuh tawaduk dan menggunakan peluang keamanan itu untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT.

            Realitinya, berapa ramai yang terkeliru dengan ujian keamanan. Lebih teruk lagi daripada itu, mereka terus hanyut dibawa arus kemaksiatan yang mengisi ruang keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Sungguh menggusarkan keadaan ini apabila difikirkan kembali. Semoga dengan sedikit coretan ini dapat menjadi tukul pengingat buat diri kita semua yang sering alpa diuji nikmat kehidupan.

Tuesday 1 May 2012

Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri

Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri
Aku lebih suka melihat kehidupan sahabatku yang sudah bergelar pemimpin pelajar. Setiap hari dia asyik sibuk sahaja dengan pelbagai tugas dan sering sahaja bergelut untuk menguruskan pelajarannya lagi.
                “Sombonglah dia tu. Mentang-mentanglah dah jadi pemimpin pelajar,” kata seorang pelajar kepada rakannya sambil mencebik bibirnya.
                “Biasalah bila orang dah ada kuasa,” balas rakannya.
                Aku hanya mampu duduk mendengar dari arah belakang sambil menghirup air milo di dewan makan yang luas itu. Kehidupan sahabatku saban hari menjadi buat mulut orang yang jarang sekali memahami apa yang diperkatakan mereka.
                Di suatu sudut lain di dalam dewan makan itu, aku terlihat sepasang kekasih sedang asyik bercengkerama. Bukan main seronok lagi mereka berdua berkasih sayang sehingga tidak mempedulikan orang disekeliling yang sejak tadi memerhatikan mereka berdua.
                Sebahagian pelajar tidak mahu sibuk berpersatuan kerana takut pelajaran tergugat tetapi sanggup terjun dalam kesibukan ber’couple’ yang bakal melemaskan hubungan mereka Tuhan dan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Paling merugikan, hubungan mereka dengan Tuhan makin terhakis.
                Untunglah dari suatu sudut bagi sahabatku itu, kesibukannya sedikit sebanyak menyelamatkan dirinya daripada melakukan perkara maksiat. Ke sana ke mari berusaha memenuhi tanggungjawab yang telah ditugaskan. Moga terus istiqamah dan selamat dari tsunami maksiat hati dan anggota badan. Teruslah bersemangat menunaikan tanggungjawab sahabatku.

Sunday 27 November 2011

Pembelajaran Sejarah


Pembelajaran Sejarah

Dalam pelbagai perkara, sejarah memainkan peranan penting dalam kesinambungan kehidupan supaya ianya berjalan diatas dasar yang nyata. Mana tidaknya, tiada dahulu tiada sekarang. Dalam melihat sejarah, terdapat pelbagai perkara yang dapat dilihat dengan jelas perjalanan sesuatu kehidupan supaya nyata atas dasar apa ianya berlangsung. Lalu, tiadalah dikatakan hidup tidak berprinsip.
            Bagi menjelaskan lagi konteks perbincangan ini, saya khususkan kepada penghayatan sejarah terhadap tamadun-tamadun terdahulu dalam membina satu pembangunan yang mapan pada zaman sekarang. Usaha membina asas pada zaman sekarang berdasarkan pengalaman-pengalaman masyarakat yang direkodkan dalam lipatan sejarah merupakan usaha yang bijak dan menguntungkan bagi beberapa aspek.
            Antaranya ialah sudah terlalu banyak tokoh-tokoh yang dinaikkan daripada lipatan sejarah untuk dibanggakan dan dicontohi kehebatan nilai-nilai dan semangat yang ada pada mereka. Namun, usaha mencontohi nilai kemajuan tamadun terdahulu amat sedikit dicontohi dan diaplikasikan dalam kehidupan bagi menuju pembangunan masyarakat. Dan kurang juga kajian bagi asas-asas pembangunan tamadun terdahulu tetapi yang hanya dibanggakan hanyalah hasil-hasil yang sudah sedia ditinggalkan oleh tamadun terdahulu terutamanya tamadun Islam terdahulu.
            Menjadi satu bahagian penting untuk dikaji oleh kita semua terhadap dasar-dasar yang telah membangunkan tamadun-tamadun yang hebat terdahulu. Dengan usaha ini sajalah dapat dilihat dengan jelas matlamat pembangunan yang kita impikan tanpa dirugikan oleh elemen-elemen yang merosakkan usaha ini. Malah dengan usaha kajian terhadap dasar dan usaha menteladaninya akan memudahkan usaha-usaha bagi merintis kemajuan yang diimpikan dengan lebih produktif dan efisien.
             Antara contoh-contoh tamadun yang berjaya dengan hebatnya dan terdekat dengan kita ialah tamadun Kesultanan Melayu Melaka. Yang suatu ketika dahulu mencapai kegemilangannya pada waktu zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Pada zamannya, pemerintahan dan urusan pentadbiran sentiasa terbuka dalam menerima nasihat dan teguran daripada para ulama. Ianya selari dengan tuntutan hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan perihal kepentingan hubungan antara umara' dan ulama. Pemerintahnya pula teguh berpegang dengan prinsip ajaran Islam, lantas memenangi hati rakyat dan meletakkan mereka semua sehati dan sekata dalam melaksanakan sesuatu usaha pembangunan negara.
            Asas-asas pembangunan sebeginilah yang seharusnya kita singkap semaksima mungkin dalam memahami dasar-dasar yang kukuh bagi sesebuah usaha yang hendak dijalankan supaya kita tidak membuang masa dengan dasar-dasar yang tidak berasas dalam usaha merintis sesebuah pembangunan yang mapan.
            Harus disedari secara bersama oleh kita semua bahawa dengan merenungi kembali sejarah kegemilangan tamadun terdahulu barulah kita dapat merencanakan kembali asas-asas yang kukuh dalam usaha pembangunan bagi setiap aspek penting seperti pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Pemahaman inilah yang sepatutnya diberikan oleh kita semua terhadap pembelajaran sejarah supaya dapat dimanfaatkan semaksima mungkin elemen-elemen penting ada dalam proses pembelajaran.
            Justeru itu, saya sangat bersetuju dengan pensyarah pengajian liberal saya iaitu Cik Salawati mengatakan dalam kuliahnya bahawa sepatutnya pembelajaran sejarah diwajibkan supaya semua orang dapat membawa satu perjalanan hidup yang lebih baik hasil daripada penelitian dan penghayatan pembelajaran sejarah. Ditekankan peri pentingnya peranan sejarah terdahulu dalam memandu masyarakat sekarang kearah yang lebih baik dan lebih kukuh.
            Berikutan dengan kepentingan sejarah dalam masyarakat, kita dapat lihat para pemikir-pemikir yang memajukan masyarakat merupakan individu yang mengkaji sejarah sehingga membuatkan mereka berpandangan jauh dalam mengeluarkan sesuatu pendapat dan idea yang secara jelas boleh kita lihat dalam beberapa penulisan mereka. Semua ini adalah hasil daripada perkaitan peristiwa sejarah lampau dengan situasi semasa mereka. Yang mana kita semua sedia tahu bahawa sejarah menerangkan konsep asas, cuma ianya berbeza situasi dan keadaan.
            Oleh sebab itu, penelitian dan penghayatan sejarah memainkan peranan penting dalam pembentukan pemikiran yang matang dan bersifat optimistik dalam membuat sesuatu penilaian. Lantaran itu, pembelajaran sejarah merupakan satu bahagian wajib dalam pembentukan pemikiran yang lebih dinamik dan progresif. Salah satu sifat sejarah ialah kita belajar dari kesakitan dan perit jerih generasi terdahulu dalam menempuh cabaran dalam kehidupan mereka.
            Perlu diingat bahawa sejarah bukan sesuatu yang diulang dan diulang apabila habis diceritakan. Begitu juga perihalnya, sejarah bukanlah sekadar satu subjek yang sekadar dihafal tarik, nama tokoh, peristiwa yang berlaku atau seumpamanya. Tetapi ianya adalah sesuatu perkara yang sepatutnya difahami dan dilahirkan semula segala intipatinya bagi dimanfaatkan oleh generasi sekarang. Bukannya sekadar menjadi tontonan buat generasi sekarang apabila membaca tentang sejarah tamadun terdahulu dan berbangga dengan kejayaan mereka.
           

Suntikan Sekularisme dalam Sistem Pendidikan




Suntikan Sekularisme dalam Sistem Pendidikan
Jika dilihat kembali pada aspek sejarah, pada awal penjajahan Barat ke atas dunia Islam adalah dengan memberi pengaruh pemikiran mereka kepada generasi muda melalui institusi pendidikan.  Terdapat beberapa proses yang disusun oleh pihak penjajah dengan mengasingkan sekolah agama dan sekolah ingeris diberi tempat-tempat yang mudah dicapai dan strategik serta diberi sokongan kewangan oleh pihak penjajah.  Dan pelajar lepasan sekolah Inggeris diberi peluang pekerjaan yang baik sehingga orang menganggap dengan pergi belajar di sekolah Inggeris, kehidupan mereka lebih terjamin dan lebih menguntungkan. 
           
            Di sini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pihak penjajah sengaja menampakkan skop sekolah Inggeris dalam bentuk yang lebih luas bagi menanggapi pemikiran umat Islam sebagai sesuatu yang menguntungkan.  Manakala, sekolah agama pula diberikan satu skop yang kecil sehingga umat Islam sebahagiannya menganggap mereka tiada pekerjaan dan tiada peluang hidup yang lebih luas. 

            Sedikit demi sedikit, umat Islam sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap sekolah agama bagi membawa anak-anak mereka pergi belajar.  Tambahan pula dengan pihak penjajah membatasi lepasan pelajar sekolah agama dengan hanya berada di masjid dan berfungsi sewaktu hari kebesaran sahaja.  Penjajah tidak memberikan hak-hak yang sepatutnya sepertimana para lepasan pelajar sekolah inggeris dengan mana tidak diberi peluang menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran, berikutan golongan agama dihadkan pada hal ehwal ibadah dan adat sahaja.  Secara tidak langsung, pihak penjajah sedikit sebanyak telah Berjaya menyempitkan skop ajaran Islam sebagai ad-din dalam sistem pendidikan terhadap golongan pemuda yang mana merupakan satu golongan yang sangat bernilai bagi sesuatu masyarakat itu.  Inilah langkah awal dalam usaha pihak penjajah mempengaruhi pemikiran umat Islam terhadap fahaman sekularisme.

            Walaupun pada awalnya usaha penjajah ini disedari oleh umat Islam, ianya sedikit demi sedikit mempengaruhi corak pemikiran masyarakat sehingga lepasan yang terhasil dari dua institusi pendidikan saling tuduh-menuduh.  Para lepasan sekolah inggeris mengecam para lepasan sekolah agama sebagai orang terbelakang, tradisional, tidak berdisiplin dan malas.  Sementara para lepasan sekolah agama menuduh para lepasan sekolah inggeris sebagai orang murtad, menjual dirinya kepada penjajah dan berpakat dengan penjajah untuk menghancurkan negara dan rakyat.  Di sini secara jelasnya kita boleh lihat suntikan bisa daripada penjajah telah membuatkan kesatuan umat Islam berpecah sedikit demi sedikit dengan sendiri tanpa mendapat serangan berbentuk fizikal daripada pihak penjajah.
           
            Pertentangan antara kedua belah pihak semakin meruncing hingga puncaknya penjajah mengangkat para pejabat negara dari alumni sekolah akademik dan berkata alumni sekolah-sekolah agama bahawa politik itu penuh dengan kebohongan, kekurangan dan kemunafikan.  Maka oleh kerana itu, para alumni sekolah-sekolah agama tidak pantas terlibat di dalamnya.  Para penjajah menenangkan fikiran orang-orang yang berfikiran polos dengan alasan tersebut dan berhasil mewujudkan keinginannya iaitu memisahkan dari negara (sekularisme) dan menjauhkan orang-orang beragama dari lingkaran kekuasaan.  Akhirnya, jawatan-jawatan penting oleh orang didikan penjajah dan lewat tangan merekalah menghidupkan benih-benih pertentangan di antara rakyat satu negara.  Lihatlah, dari institusi pendidikan hingga ke dalam corak pentadbiran negara, fahaman sekularisme telah disuntik sedikit demi sedikit sehingga melahirkan satu kepincangan yang cukup seiring dalam kesatuan dan kekuatan umat Islam.

            Keupayaan pengaruh barat dalam memancing perhatian umat Islam yang kaca hasil bumi dengan menimbulkan segala macam kebanggaan terhadap dunia Barat.

            Telah menjadi satu kelemahan yang dilihat jelas apabila umat Islam telah dipalingkan perhatian daripada kekayaan dan keistimewaan yang sedia ada di bumi umat Islam dengan melahirkan pelbagai kebanggaan terhadap dunia Barat yang sudah miskin dan mundur dalam beberapa aspek keperluan insan. Ketakjuban terhadap terus parah sehingga membuatkan sebahagian umat Islam secara terus menerus bangga dengan segala macam perkara yang datang dari Barat sampai terlupa apa yang telah Allah SWT anugerahkan di bumi mereka.  Pelajar-pelajar yang bijak pandai terus dihantar keluar negara dan ada sebahagian menyumbang di bumi bukan Islam.  Lalu, apa yang tinggal di bumi umat Islam gagal dipertahankan oleh golongan-golongan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan.  Lalu, keadaan ini telah membuka ruang kepada orang yang tidak berkelayakan mentadbir dan mengurus urusan-urusan penting yang menjadi kekuatan ummah.

            Secara ringkas keadaan ini dapat difahami dengan baik yang mana umat Islam dilekakan dengan perkara-perkara yang jauh daripada mereka sehingga lupa dan alpa bagi perkara-perkara yang sedia dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.  Sedangkan bagi setiap perkara yang ada pada mereka itu adalah sesuatu yang hebat dan sangat istimewa untuk direnungi, difikirkan dan disyukuri secara keseluruhannya.

            Walaupun pada zaman sekarang, umat Islam sudah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sehingga mampu menguruskan hasil buminya, tetapi ianya tidak diperkukuhkan dengan kesyukuran dan kebanggaan terhadap hasil bumi mereka bagi kemajuan umat Islam secara keseluruhannya.

            Dalam erti kata lain, segala kemampuan dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam memanfaatkan sumber bumi yang sedia ada, ianya tidak dipusatkan kepada kemajuan umat Islam dalam memperkukuhkan kekuatan ekonomi umat Islam.  Tanpa kefahaman sebegini, segala usaha yang digemblengkan tiada akan berjaya digunakan bagi kemajuan umat Islam.  Oleh sebab itu, perlunya kepada pemahaman akan kepentingan usaha umat dalam menyumbang kepada beberapa aspek penting dalam mengukuhkan kembali kekuatan dan mempertahankan umat Islam daripada serangan golongan yang dengki terhadap kemurnian Islam.