Ujian
Dari Nikmat Keamanan
Terdetiknya niat untuk menulis tajuk
ini adalah untuk dijadikan muhasabah buat diri yang kerdil ini dan juga para
pembaca dalam melihat diri kita di sisi nikmat keamanan yang telah Allah SWT
anugerahkan. Cukuplah ingin aku katakan bahawa keamanan yang dimaksudkan itu
merujuk kepada keadaan negara kita yang tidak berperang dan hari-hari berlalu
tanpa hujanan peluru dan bom yang membunuh.
Beberapa
paparan video dari Youtube tersiar pada wall Facebook. Aku melihat
rakan-rakanku
yang beragama Islam terkinja-kinja meniru lagak Gangnam Style
dengan penuh keasyikan dan kelihatannya mereka seperti sudah tidak ingat dunia.
Berfikir pula aku dengan rakan-rakan yang sebaya aku di Syria, Palestin dan
Rohingya, adakah dengan keadaan mereka senantiasa dihujani peluru dan bom,
nyawa senantiasa diancam serta seribu satu macam ujian yang mencengkam perasaan
masih memberi mereka peluang untuk berGangnam Style? Soalan ini disoal dan soal
pada diriku sedalam-dalamnya sehingga timbul satu jawapan yang menyentak
fikiranku seharian iaitu “Keamanan yang dinikmati oleh generasi muda sekarang
merupakan salah satu ujian yang rencam dari Allah SWT. Terhapus sudah dalam
fikiran generasi muda sekarang bahawa keamanan itu merupakan ujian.”
Lalu setelah disentakkan dengan
jawapan tersebut, fikiranku melayang membuat perbandingan. Aku berkata pada
diriku sendirian, “Sungguhpun di kalangan generasi muda Islam di negara Syria,
Palestin dan Rohingya sedang berada dalam keadaan yang sifar keamanan, keadaan
itu membuatkan mereka terhindar jauh dari perkara-perkara yang melalaikan
sedemikian. Malah, secara tidak langsung mereka sedang sibuk berjuang habis-habisan
bagi sebuah kehidupan yang lebih aman.”
Keamanan Suatu Ujian
Penulisanku ini tidak bermaksud untuk
kita membiarkan sahaja rakan-rakan seakidah kita di sana untuk terus-terusan
dengan keadaan demikian sehingga ada yang berkata, “Kalau dengan peperangan itu
membuatkan diri mereka lebih dekat dengan Allah SWT, maka biarkanlah mereka
dengan keadaan itu. Jangan dibantu mereka. Biarkan mereka sedang berbahagia
dengan cara mereka tersendiri.” Tidak! Sekali-kali tidak aku bermaksud demikian
dengan penulisan ini.
Namun begitu, apa yang ingin ku
tegaskan penulisan ini adalah untuk rakan-rakan semua senantiasa melihat bahawa
sama ada kita dilanda peperangan atau dianugerahkan keamanan dari Allah SWT,
kita harus melihat semua itu sebagai satu ujian untuk menguji keimanan dalam
diri kita. Jika kita melihat peperangan itu sebagai suatu ujian untuk melihat
sejauh mana keimanan kita terhadap Allah SWT, maka kita akan hadapinya dengan
penuh kesabaran serta merancang kemenangan dengan penuh strategi untuk mendapat
sebuah kehidupan yang lebih aman. Jika kita melihat keamanan itu sebagai ujian
yang menguji sejauh mana rasa syukur yang akan dipanjatkan kepada Ilahi, maka
kita akan menghadapinya dengan penuh tawaduk dan menggunakan peluang keamanan
itu untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT.
Realitinya, berapa ramai yang terkeliru dengan ujian
keamanan. Lebih teruk lagi daripada itu, mereka terus hanyut dibawa arus
kemaksiatan yang mengisi ruang keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Sungguh
menggusarkan keadaan ini apabila difikirkan kembali. Semoga dengan sedikit
coretan ini dapat menjadi tukul pengingat buat diri kita semua yang sering alpa
diuji nikmat kehidupan.
No comments:
Post a Comment