Friday 18 November 2011

Apabila bahasa dipandang sebagai matlamat...


Apabila bahasa dipandang sebagai matlamat...

Pengenalan
Secara asasnya, bahasa berperanan sebagai alat untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan ilmu pengetahuan di antara sesama manusia. Apabila kita berhadapan dengan satu majoriti masyarakat yang berkomunikasi dalam bahasa yang lain, kita perlu mempelajari dan menguasai dengan baik bahasa tersebut untuk memudahkan kita berkomunikasi dengan majoriti tersebut atas beberapa keperluan seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan pelbagai lagi. Apabila sudah samapai ke tahap ini, keperluan bagi mempelajari bahasa yang digunakan oleh majoriti tersebut sudah menjadi satu kewajipan kepada kita semua yang berhendak kepada setiap apa yang ada dalam majoriti tersebut.
            Sebagai contoh, pada zaman sekarang kita terpaksa mempelajari bahasa Inggeris bagi memudahkan kita untuk berkomunikasi dengan majoriti masyarakat dunia yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan mereka. Dan sudah pastinya, terdapat pelbagai macam keperluan yang kita berharap kepada mereka. Namun begitu, secara asasnya penguasaan bahasa Inggeris hanyalah sebagai penguasaan alat bagi memudahkan kita untuk berhubung dengan mereka. Dan pasti bukannya menjadikan bahasa Inggeris sebagai matlamat. Jauh sekali mengagung-agungkannya sebagai satu kebanggaan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.
            Oleh sebab itu, mahasiswa semua perlu melihat kembali niat asal kita mempelajari bahasa Inggeris hanyalah untuk menggunakannya sebagai alat yang memudahkan kita semua berhubung dengan masyarakat majoriti dunia yang mempunyai pelbagai kemahiran dan sumber yang dapat memenuhi keperluan hidup kita dalam pelbagai peringkat seperti individu, masyarakat dan negara. Ini permulaan penulisan bagi mejelaskan kembali peranan bahasa Inggeris yang diserapkan bersama silibus pendidikan seiring dengan keperluan generasi sekarang untuk menguasai pelbagai bidang utama dalam kehidupan terutamanya bidang sains dan teknologi. 

Menggunakan bahasa Inggeris bagi memartabatkan bahasa Melayu
Sememangnya ada pelbagai kajian yang menjelaskan secara terperinci akan perihal keistimewaan bahasa Melayu dari pelbagai sudut seperti sejarah, penggunaannya dan pelbagai lagi. Tetapi sebahagian besarnya wujud sebagai catatan sejarah sahaja. Ini sebabkan sesuatu kehebatan bahasa itu wujud seiring dengan kekuatan yang pelbagai oleh majoriti yang menggunakan sebagai bahasa komunikasi. Bahasa Melayu secara khususnya mencapai satu tahap kehebatan pada suatu ketika dahulu ketika zaman kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sehingga diperkatakan oleh 85 bangsa yang datang berdagang di perlabuhan Melaka. Tetapi sebaliknya berlaku pada zaman sekarang apabila bahasa Melayu tidak menjadi bahasa utama sebagai bahasa komunikasi di peringkat dunia dek kerana kelemahan bangsanya sendiri iaitu Melayu.
            Oleh sebab itu, penulis melihat bahawa tidak ada cara lain bagi membangunkan keagungan bahasa Melayu di mata dunia melainkan bangsa Melayu sendiri menjadi agung dan hebat dipersada dunia. Jadi, bagi membina kekuatan itu, bangsa Melayu keseluruhannya perlu menguasai bahasa Inggeris untuk menyerapkan setiap sudut kekuatan yang ada pada zaman sekarang dalam pelbagai bidang. Dan apabila sampai pada suatu tahap yang kukuh lagi stabil, pada waktu itu perlulah menggunakan bahasa Melayu bagi menyalurkan kepada pihak yang berharap pada kekuatan yang kita sedia bina. Seiring dengan kekuatan bangsa, bahasa Melayu akan turut sama hebat dan terangkat martabatnya.
            Ironinya, apabila kita berjaya menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru dan inovatif dalam pelbagai bidang, kita acap kali akan mempersembahkannya dalam bahasa Inggeris. Tak cukup dengan itu, kita menamakannya dengan bahasa Inggeris. Sampai begitu sekali keadaan kita apabila lupa bahawa bahasa Inggeris itu hanyalah alat dan bukannya satu bahasa untuk diagung-agungkan. Dan apabila pihak Barat melihat ada keperluan terhadap teknologi dan hasil inovatif yang kita bina, mereka dengan mudah mempelajari dan menguasainya kerana ianya sudah sedia diterangkan dalam bahasa Inggeris. Tanpa perlu mereka mempelajari bahasa Melayu untuk mempelajarinya. Jadi, lemahnya bahasa Melayu dek kerana bangsa Melayu sendiri yang kurang rasa semangat dalam meletakkannya pada satu tahap yang lebih dihargai. 

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu penuh dengan cabaran
Jika direnungi dengan jauh melangkau aspek bahasa dan aspek kekuatan yang ingin dibina. Terdapat satu aspek lagi yang berhubung kait dengan dua aspek ini iaitu aspek pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Bangsa Melayu itu sendiri merasa diri tamadun mereka lemah dek kerana melihat pihak Barat itu sebagai satu tamadun yang penuh keagungan. Tambahan pula, dalam realiti hidup pun mereka sudah lemah kerana sudah longgar pegangan kepada asas kekuatan yang menjadikan mereka tamadun yang agung pada suatu ketika dahulu iaitu agama ataupun cara hidup Islam.

Hubungan Pemikiran Bangsa dan Bahasa
Ini merupakan satu aspek penting yang perlu diambil kira apabila membincangkan usaha membina kekuatan bangsa. Persoalan bagaimana pemikiran bangsa Melayu terhadap identiti bangsanya seperti agama Islam, bahasa, kebudayaan dan pelbagai lagi perlu bagi menganalisis cabaran-cabaran yang menyukarkan usaha dalam membina kekuatan bangsa Melayu. Dan ianya terbahagi kepada sifat bangsa Melayu itu sendiri dan sifat kebiasaan bagi manusia ( perlu dibezakan dengan nilai-nilai yang dibawa oleh ajaran Islam itu sendiri yang bersifat membuka dan membebas diri manusia itu bagi mengubah kedudukan mereka pada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang ) .
            Apabila bangsa Melayu merasakan apa-apa yang datang dari Barat itu bagaikan sesuatu yang agung, kita akan melupai identiti kita yang terdahulu. Tambahan pula, identiti kita dimomokkan sebagai suatu yang kolot dan ketinggalan zaman. Dan sememangnya, sifat manusia akan cenderung mempamerkan diri mereka dengan elemen-elemen yang terdapat pada suatu bangsa lain yang difikirkan hebat untuk menjadi hebat. Ianya suatu perubahan yang positif apabila menjurus kepada perkara yang membawa faedah secara bersama. Tetapi, tidak apabila perubahan ini menenggelamkan suatu identiti yang sebelum ini telah membuatkan kita semua berada dalam satu suasana yang penuh kesejahteraan hidup dan pencapaian yang cemerlang iaitu identiti Islam.
* Bukan saya menyatakan identiti Islam itu sebagai satu yang bersifat ekslusif tetapi sekadar memahamkan bangsa Melayu sekarang bahawa dengan beridentitikan Islam sahaja dalam mengembalikan kekuatan dan kecemerlangan bangsa Melayu dalam pelbagai bidang dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran.
                Pemikiran sebegini akan membuatkan kita bukan lagi suatu bangsa yang hebat, cemerlang dan mempunyai identiti yang tersendiri. Malah, ianya akan membuat bangsa Melayu mudah hanyut dengan pengaruh-pengaruh negatif daripada Barat.
            Pada aspek bahasa, bahasa Melayu mempunyai satu keistimewaan yang tersendiri kerana banyak perbendaharaan kata terhasil daripada asimilasi perkembangan agama Islam di Tanah Melayu . Yang mana banyak perbendaharaan kata diambil daripada bahasa Arab dan lantas menjadikan bahasa Melayu dapat disesuaikan dalam pelbagai bahagian selari dengan keperluan kemajuan tamadun Melayu itu sendiri. Jadi di sini jelas memperlihatkan bahawa kedatangan Islam telah membentuk salah satu identiti bangsa Melayu iaitu bahasa Melayu. Bahasa Jiwa Bangsa ! Kedatangan Islam telah mengambil bahagian dalam pembentukan jiwa bangsa Melayu. 

Islam Jiwa Bangsa
Walau apapun, apabila kita menelusuri setiap persoalan identiti, kekuatan dan sebagainya, semuanya berbalik kepada Islam. Islam Jiwa Bangsa ! Bangsa Melayu yang berharap kepada Islam, bukannya Islam yang berharap kepada bangsa Melayu. Islam yang menjadi jiwa bagi bangsa Melayu untuk terus kuat dan hebat. Ini boleh diumpamakan seperti sebuah badan yang tidak punya jiwa. Kaku seperti robot dan mudah dipermainkan. Begitulah keadaan bangsa Melayu sekarang, apabila Islam tidak menjadi jiwa , Melayu akan terus lemah dan hina di mata dunia. Begitu juga dengan bangsa lain. Lihat sahaja bangsa Arab, apabila mereka tidak berjiwakan Islam. Mereka terus ditindas dan menjadi hina. Sedangkan, mereka dahulu pernah menjadi hebat dipersada dunia dan memenuhi perjalanan sejarah dengan pelbagai catatan kecemerlangan.
            Persoalan utama sekarang, adakah kita sudah selesai dengan Islam? Selesai disini bermaksud adakah kita sudah berusaha dengan segenap ruang yang ada bagi meletakkan agama Islam sebagai jiwa bangsa Melayu? Jika jawapannya tidak, sukar untuk kita berhadapan dengan persoalan-persoalan yang sedia ada dan yang akan datang kelak. Ini kerana ianya merupakan asas kehidupan umat manusia yang membentuk cabang-cabang kehidupan yang lainnya. Jika kita sudah berjaya memenuhi bagi sebahagian besar tuntutan Islam asas akidah, syariat dan akhlak, maka persoalan-persoalan lain akan mudah dihadapi dan diselesaikan.

Kesimpulan
Apabila kita tenggelam dalam sesuatu perbincangan cabang dalam kehidupan, seharusnya melihat kembali asas yang utama. Oleh sebab itu, bangsa Melayu tidak dapat lari daripada merujuk kembali asas Islam yang telah mencambahkan pelbagai sudut kehidupan yang telah membentuk identiti bangsa Melayu itu sendiri. Hebat dan cemerlangnya sesuatu bangsa khususnya Melayu disebabkan kemurnian dan keagungan agama Islam.

           

No comments:

Post a Comment