Tuesday 15 November 2011

Dengan apa kita melihat dunia?

Asas Pandangan Yang Utama Bagi Melihat
Kepelbagaian Pandangan Manusia

Asas merupakan suatu perkara yang ringkas tetapi berkepentingan dalam beberapa bahagian yang seterusnya. Penulisan ini menghuraikan kembali asas pandangan yang utama adalah untuk menyedarkan kembali pemikiran kita semua dalam melihat kehidupan yang mempunyai kepelbagaian yang mengagumkan. Peranan sesuatu asas pandangan akan memudahkan pemikiran manusia yang datang daripada akal yang sihat akan berfungsi dengan berulang-alik merujuk kembali asas yang dipegang bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa dan menjadi neraca pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan. Tetapi perlulah asas yang benar, diyakini, jelas dan adil iaitu pandangan Allah SWT sebagai pandangan yang utama dalam melihat sesuatu kepelbagaian.

 Dalam sesebuah kehidupan, pelbagai perkara begitu mempesonakan kita. Khususnya dalam dunia intelektual, wujud pelbagai pandangan yang menarik untuk difikir dan dibincangkan bersama. Namun, ianya menjadi satu cabaran yang besar bagi seseorang yang berada dalam perjalanan bagi mencari kebenaran jika tiada satu asas pegangan yang kukuh lagi utama untuk dijadikan sandaran bagi pelbagai pandangan yang diterima.

          Apabila timbul sesuatu kepincangan dalam kehidupan, wujud pelbagai lontaran pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak dan individu. Sehinggakan sampai pada satu tahap yang mengelirukan untuk kita mengambil tindakan susulan bagi berhadapan dengannya. Pada saat ini, menjelaskan kepada kita semua bahawa pandangan yang utama diperlukan bagi melihat apa yang sepatutnya dilakukan.

       Tidak dinafikan pada masa yang sama bahawa kepelbagaian pandangan merupakan suatu yang penting untuk diterima dan dipertimbangkan dalam membuat sesuatu keputusan. Tetapi perlu disedari bahawa semua itu hanya berperanan bagi mengukuhkan lagi asas yang dipegang.

         Jika kita telusuri kembali realiti masyarakat sekarang, terdapat satu analogi yang jelas untuk menjelaskan kepentingan yang ingin ditekankan dalam penulisan ini. Masyarakat sekarang begitu menekankan pandangan orang ramai dalam proses perkahwinan. Lihat sahajalah, disebabkan begitu melihat pandangan manusia keluarga sibuk menyiapkan bunga telur dengan berhias manik-manik, hantaran mas kahwin yang keterlaluan, juadah makanan yang dibelanjakan sehingga membazir dan pelbagai lagi yang menjurus kepada menjaga pandnagan orang ramai. Tetapi semua ini berlaku sehinggakan terabai pandangan Allah SWT melalui pandangan syariat yang hanya menekankan beberapa perkara yang menjadi tuntutan keperluan.

Produktiviti Meningkat Dengan Berpegang Pada Pandangan Asas

Sebahagian daripada kita semua banyak mebuang masa dalam berbincang sesuatu pendapat individu dalam membuat sesuatu keputusan. Dan ianya lahir daripada ketidakyakinan kita terhadap pandangan Allah SWT yang  Maha Benar. Paling tidak pun untuk dibincangkan adalah kepelbagaian proses memahami pandangan Allah SWT melalui syariatNya. Persoalan-persoalan yang sepatutnya wujud hanyalah bagaimana usaha kita melihat semua pandangan itu tanpa terputus daripada pandangan Allah SWT. Ini kerana seringkali menjadi satu kekeliruan bagi kita semua apabila melihat pelbagai pandangan yang ada sebagai suatu pandangan yang terhad kepada makhluk sahaja dan bukannya melangkaui pandangan itu sebagai sesuatu yang berhubung dengan Allah SWT.

Pandangan Seseorang Hanyalah Sebagai Pandangan Makhluk Yang Tidak Lari Daripada Kekurangan

Dalam ruang keinsafan, perlulah disedari bahawa sesuatu kepincangan yang berlaku memerlukan sebuah pandangan yang sempurna untuk dijadikan neraca pertimbangan. Dan pandangan makhluk, hanyalah untuk memahami pendekatan untuk mengaplikasikan  asas-asas dalam proses penyelesaian. Oleh sebab itu, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan dalam sesuatu pandangan daripada seseorang kerana hakikatnya mereka merupakan makhluk yang tidak dapat lari daripada sebarang kekurangan.

No comments:

Post a Comment